demi gerhana
langit dihiasi keanggunan bulan dan ribuan bintang
dihiburkan dengan orkestra nyanyian cengkerik dan siulan angin
bulan,bersinar lembut dan beremosi
memancarkan cintanya pada yang tercari-cari
matahari,bersinar kasar dan lantang
memancarkan cintanya pada yang mahu mencari
disebalik tirai alam,
sang matahari berkongsi nur nya pada sang bulan
tanpa mengira waktu dan jarak,setiap detik
biar sang bulan kelihatan menawan bila malam berlabuh
dalam kejauhan masih terpancar sifatnya
dari dirinya sendiri dan diri yang dicintainya
alam yang romantis
satu yang romantis
hanya masa akan menjadi bukti kerinduan mereka
hanya alam yang memahami hayat pertemuan mereka
matahari dan bulan
siang dan malam
putih dan hitam
saling berpasang
walau perjalanan mereka berbeza haluan
keduanya menginginkan pertemuan dalam satu majlis keramaian
dan kita manusia sering menantikan pertemuan itu
dimana mereka akan berdansa melepas rindu
majlis gerhana pasti akan menjadi simpang pertemuan mereka
demi gerhana, mereka tetap akan bertemu
kita seringkali menjadi saksi pertemuan mereka
melihat raja siang dan ratu malam berdansa di majlis gerhana
kadangkala di istana raja sang siang
kadangkala di istana ratu sang malam
keduanya bahagia dan redha
akan detik pertemuan mereka berdua
walau singkat tapi cukup untuk menterjemahkan semua
walau ringkas tapi cukup untuk membahagiakan adam dan hawa
bulan menjadi ratu kerajaan malam kerana cinta sang matahari padanya
matahari menjadi raja kerajaan siang kerana cinta Al-Jalal padanya
satu persembahanku buatmu, sang bulan
ratu malamku,
demi gerhana,
suluhkan ketenangan buatku,
agar aku tak meraba dalam gelap,
agar dapat aku temukan kalungan bintang-bintang berkilauan buatmu,
dan moga di ilhamkan satu pelukan misteri buat kita.
cintakan mati untuk hidupkan cinta
dimana di situ lah bermulanya kehidupan dan cinta
disingkir keluar kerana tersalah menjamu selera
aku ini makhluk ghaib yang terperangkap dalam alam fana
yang tidak sempurna tetapi sempurna
aku cuma tidur terlalu lama di kala mimpi hayat
yang penuh dengan khayalan-khayalan berat
kematian duniawi adalah permulaan kehidupan
hari demi hari menanti hari kebangkitan
dimana aku akan dibangkitkan dan dihidupkan semula
untuk mengadap Maharaja yang sebesar-besarnya
setelah berdekad lamanya di alam materi termati diri
sedang dosa dan pahala itu urusan tuhan
mana kan mungkin aku memilih syurga
dan menolak neraka
maka,
dengan rasa cinta yang diilhamkan
melalui akal dan jiwa yang dinikahkan
baik lah aku memilih si pencipta
dari aku miliki sebuah takhta.
dan barangkali dengan izin Nya kan ku temui kedua pemilik cerita cinta yang pertama.
amin.
tiada dalam ada
aku tiada mata
aku tiadahidung
aku tiada mulut
aku tiada tangan
aku tiada kaki
aku tiada akal
aku tiada ilmu
aku tiada hati
aku tiada jiwa
aku tiada kawan
aku tiada keluarga
aku tiada aku
kerana yang ada itu cuma WUJUD
tapi, aku ada cinta.
cinta.
99 hingga 1
3rd eye blind
aku sedar kita ini sering diperhati
oleh CCTV halimunan
yang ada di setiap penjuru,
sudut dunia
kebanyakan di langit
di pokok-pokok
di taman
di dalam rumah
di dalam bilik
yang setiap satu nya
berangkaian dengan
harddisk organik
di dalam kepala
yang setiap satu kabelnya
mengurai jauh keatas
melalui langit pertama
ke langit ke dua
ke langit ke tiga
ke langit ke empat
ke langit ke lima
ke langit ke enam
menembusi langit ke tujuh
yang boleh diamati
bukan dengan pasangan bola mata
tapi dengan semata hati
namun
jika kamera litar tertutup itu
nyata terlihat oleh
kita manusia-sia ini
pasti akan
berbohong pada diri sendiri
dan setiap kita akan
berubah menjadi sang malaikat
menelefon penguatkuasa alam
untuk memuji dan mengampu
menelefon maha hartawan
untuk melimpahkan rezeki
menelefon hakim semesta
untuk mempertimbangkan kesalahan
agar dapat meloloskan diri dari jahanam
sesungguhnya
manusia itu dicipta lengkap
dengan tiga mata
tapi kita orang-orang keramaian
hanya pernah menggunakan dua sahaja.
27 rabiul awal 1429,teater tragedi, lembah berlumpur, Sisilah Al-Jabal.
saudagar mimpi menampar pipiku ketika aku lena
asyik dibawah pohon sabitah
sudah
aku tersesat lagi ke lembah mimpi
aku cuma senyum padanya
"aku datang menziarahi mu,secara tidak sengaja"
"mimpi yang paling indah pun buat kau terdampar kembali ke sini?"
aku terkedu bagaimana sekelip mata aku tiba di sini
barangkali disebabkan bayangan kelam tempoh hari
datang melintas perlahan dihadapanku
memaksa minda ku mengimbas kembali
27 rabiul awal 1429
teater tragedi
lembah berlumpur
di Sisilah Al-Jabal....
"
aku kecewa dengan sifat semulajadi
"
"mimpi dan lamunan adalah dua perkara yang berbeza" kata saudagar mimpi
aku tersentak.menggosok-gosok mata.
"maafkan aku,omar.cuma sisa-sisa masa lampau datang hinggap. tiba-tiba lalai. kisah di teater tragedi musim luruh lalu, ada kaitannya dengan pencarian cinta agung aku"
"cinta agung?kau pernah dengar kisah tentang Si penari Putar yang terlalu menghayati cinta hingga mabuk cinta? ini tulisannya dalam bahasa Rumi diperoleh dari simpanan Si Pemikir" lalu menyua ku segulung skrol lama. berhabuk.
Si Pemikir?sudah lama benar aku tak bersua dengannya.
Akhir sekali bertemu dengannya beberapa purnama lalu. Ketika dia asyik benar menceritakan tentang Puteri Gembala Bunyi yang ditemuinya.merdu dan syahdu katanya.
aku mengamati pemikiran Si Penari Putar
aku jatuh cinta
dan sematkannya dalam kocek jiwa dan minda
cinta yang benar ialah cinta yang mistik
aku merinduinya
walau aku tidak pernah berdepan dengannya
aku mendengar kata-katanya
walau aku tidak pernah mendengar suaranya
aku mencintainya kerana
dia sering membantu,memaafkanku dan menyayangiku dalam diam
katanya dia sering memerhatikan aku
namun hingga hari ini aku masih menanti
saat aku melihat wajahnya
saat aku kembali ke pangkuannya
aku dilamun cinta agung.
the slave and lord uno
tuan uno,
sewakan aku tanganmu
sewakan aku lututmu
sewakan aku bibirmu
sewakan aku pengetahuan mu
tuan uno,
akan aku bayar semula
dengan sejumlah pahala yang
aku tabung di sepanjang perkhidmatanku
tuan uno,
sehingga sampai masanya
tarikh luput instrumen-instrumen
yang aku sewa itu
akan aku pulang kan segalanya
yang bukan milikku
dan pulang kepangkuanmu
yang maha mulia
ketua segala ketua
raja segala raja
maha segala maha
